PATROL DENGGI

SK SENAI UTAMA AKAN MENGADAKAN PROGRAM PATROL DENGGI BAGI MEMBERI KESEDARAN KEPADA MURID-MURID DAN WARGA SEKOLAH BETAPA BAHAYANYA PENYAKIT DENGGI

Tuesday, October 27, 2009

Perihal Solat Jama' dan Qasar

~Soalan~
Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.

Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.
lk
Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.
- Hayati, Sg Besi.
lk
~Jawapan~
wa'alaikumussalam...
Saudari sepatutnya menjama'kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.
lk
Berikut pula syarat untuk men"qasar"kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.
iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.
Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :-
i. Jama' tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)
ii. Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :-
Pertama : Jamak Taqdim
Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.
Syaratnya :
1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )
2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.
3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.
Kedua : Jamak Takhir
Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng"qasar"kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL
lk
Adapun kenyataan saudari "tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.
lk
Artikel ini diperoleh daripada laman web soal jawab Ustaz Zaharuddin.

Petua Penting Persediaan Bahan Ubat

PETUA PENTING PERSEDIAAN BAHAN UBAT

1. Memberi salam kepada nabi Ilyas sebelum mengambil sesuatu tanaman (pokok, daun, bunga dan sebagainya) untuk buat ubat, caranya; "Assalammu'alaikum wahai nabi Ilyas, saya hendak mengambil pokok ini untuk merawat penyakit... (sebut nama penyakit) yang di hidapi oleh ...(sebut nama pesakit)".
2. Baca Surah Al-Fatihah sebelum memetik atau memotong pokok tersebut.
3. Jangan tindih bayang. Pastikan pokok tersebut tidak terlindung bayang badan kita ketika mengambilnya. (Samaada bayang cahaya matahari di waktu siang atau bayang bulan dan lampu suluh di waktu malam).
4. Ambil tumbuhan yang segar – tidak dimakan ulat, tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda.
5. Gunakan periuk yang dibuat daripada tanah untuk merebus bahan ubat.
6. Bila mengacau bahan ubat, pergerakan pusingan hendaklah mengikut pusingan tawaf ka'abah (anti clock wise).
lk
JENIS-JENIS AIR UNTUK RAWATAN
lk
Bahan asas utama untuk semua jenis rawatan ialah air. Berikut ialah senarai jenis air mengikut turutan yang paling baik;
1. Air Zam-zam (yang paling baik).
2. Air jernih biasa yang telah dibacakan Surah Yaasin oleh 40 orang atau lebih.
3. Air dari kolah di Masjid yang digunakan untuk wuduk.
4. Air hujan malam Jumaat yang ditadah terus dari langit.
5. Air mineral semulajadi.
6. Lain-lain air mutlak yang jernih serta suci.
k
Sumber artikel : DarusSyifa' Online.

PTK Ogos 2009

Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai ingin mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah memperoleh keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PTK Ogos 2009. Kepada yang masih belum berjaya, teruskan usaha anda. Sesungguhnya Allah memberikan kejayaan atas usaha seseorang yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan ketekunan. Kepada guru-guru yang masih belum mendapatkan keputusan, sila klik di sini.
lk

Senarai Semak Menghadapi Peperiksaan

SENARAI SEMAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN
lk
MALAM SEBELUM PEPERIKSAAN
~Menyemak jadual peperiksaan untuk memastikan mata pelajaran pada hari esoknya.
~Sediakan dan menyemak keperluan peperiksaan berfungsi dengan baik seperti pen, pensil 2B, pemadam, pembaris, pengasah, dan sebagainya.
~Membuat ulangkaji terakhir (nota – nota penting sahaja).
~Menyimpan kad pengenalan dan slip kemasukan peperiksaan dengan baik.
~Menyemak jam tangan berfungsi dengan baik dan tepat.
~Menyediakan pakaian seragam sekolah yang sesuai untuk peperiksaan dan memastikan ianya selesa dan masih elok dipakai.
~Maafkan semua orang dan berdoa sebelum tidur. Minta ibu bapa/ keluarga kejutkan untuk bangun awal.
~Tidur awal dalam keadaan tenang dan memasang jam loceng sebelum tidur.
lk
PAGI HARI PEPERIKSAAN
~Bangun awal dan melakukan aktiviti kerohanian (solat, berdoa dan sebagainya).
~Ceria, tenang dan berfikiran positif tentang peperiksaan.
~Memohon restu (doa) daripada ibu bapa.
~Datang ke sekolah lebih awal.
~Masuk ke dewan peperiksaan dengan tenang, yakin dan berdoa.
~Duduk di dalam dewan peperiksaan dengan tenang sambil menunggu arahan pengawas peperiksaan. Banyakkan berdoa, berzikir dan berselawat. Mulakan menjawab soalan dengan lafaz BismilLah dan doa.
lk
MENJAWAB SOALAN OBJEKTIF
~Mengambil tahu bilangan soalan yang ada dan jumlah masa yang peruntukkan.~Membaca soalan sekurang-kurangnya dua kali sebelum menjawab.
~Tentukan ruang jawapan diisi dengan betul.
~Tinggalkan, bulatkan soalan yang tidak yakin dan beredar ke soalan seterusnya.
~Semak jawapan sama ada sudah ditandakan dengan betul sama dengan pilihan jawapan di kertas soalan.
~Bagi soalan yang tidak yakin, tinggalkan jawapan yang tidak munasabah, kemudian yang sederhana munasabah, maka tinggallah jawapan yang diyakini betul sahaja.
~Padamkan dengan bersih sehingga tidak ada kesan yang tertinggal jika ingin membuat perubahan jawapan.
~Tanda pada ruang jawapan dibuat dengan jelas dan nyata.
~Semak semula pengisian nama, no. kad pengenalan, angka giliran dan kira bilangan soalan yang perlu dijawab sebelum dikutip oleh pengawas peperiksaan.
lk
MENJAWAB SOALAN SUBJEKTIF
~Semak bilangan soalan yang perlu dijawab dan berapa markah yang diperuntukkan setiap soalan. ~Membaca arahan soalan sebelum menjawab dan ingatkannya semasa menjawab.
~Baca kesemua soalan sepintas lalu untuk mendapat gambaran keseluruhannya.
~Tandakan semua soalan-soalan yang diyakini boleh dijawab.
~Semak semua soalan yang ditandakan dan pilih jumlah soalan yang diyakini dapat dijawab dengan baik.
~Membaca dan memahami kehendak soalan sebelum mula menjawab.
~Pembahagian masa untuk setiap soalan.
~Menyediakan rangka jawapan sebelum menjawab soalan.
~Tenangkan fikiran semasa menjawab.
~Memastikan tulisan dapat dibaca oleh pemeriksa dengan senang.
~Semak semula pengisian no. kad pengenalan, angka giliran dan kira bilangan soalan yang perlu dijawab dan ikat dengan kuat dan kemas.
lk
Sumber artikel, di sini dan di sini.

Membentuk Anak Yang Hebat

Setiap permata hati yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita adalah unik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kadang-kadang permulaan sewaktu dari kecil sudah nampak keunikan kepada anak-anak kita tetapi ada juga sebahagiannya kehebatan anak-anak belum terserlah ketika di usia kecilnya. Ibu bapa perlu peka untuk dan sensitif dalam memerhatikan anak-anak.
lk
Sedar Keistimewaan Anak-Anak
lk
Sebahagian ibu bapa sering kecewa apabila melihat anak orang lain lebih hebat berbanding anaknya. Perbandingan telah menyebabkan ingin anak mereka menjadi sebagaimana anak orang lain di mata mereka. Sebenarnya situasi ini tanpa disedari, ibu bapa telah membentuk anak mereka tidak mengikut acuan dan potensi sebenar anak mereka. Ibu hanya ingin anak-anak mereka menjadi hebat mengikut acuan daripada kehebatan orang lain sedangkan hakikatnya anak mereka tidak mampu mencapai tahap yang diingikan oleh ibu bapa mereka.
lk
Bentuk Anak Mengikut Potensi
lk
Perlu diingtkan bahawa sebagai ibu bapa, kita perlu memerhatikan di mana kelebihan dan keunikan yang dimiliki oleh anak kita, kerana pengharapan ibu bapa yang bertentangan dengan kehendak anak-anak akan menjejaskan potensi sebenar yang dimiliki oleh mereka. Mungkin anak kita bukan seorang ahli sukan, maka jangan sekali-kali kita ibu bapa berkecil hati dan terus berharap untuk menjadikan mereka seorang ahli sukan. Potensi anak-anak sebenarnya telah diberikan oleh Allah SWT. Cuma terpulang pada kebijaksanaan ibu bapa untuk menggilap atau membiarkan potensi anak-anak malap begitu sahaja.
lk
Jadilah Mentor Yang Bermotivasi
lk
Sebagai pembimbing dan mentor kepada anak-anak, ibu bapa perlu memberikan galakan dan dorongan semaksimum mungkin kepada anak-anak untuk mencapai kecemerlangan melalui usaha yang gigih di samping memberikan tunjuk ajar dan strategi yang tepat agar setiap usaha dan bakat yang dimiliki oleh anak-anak akan membuahkan hasil. Apa yang lebih penting, sekiranya anak-anak diasuh mengikut keistimewaan dan keunikan yang dimilikinya maka sudah tentu anak-anak bukan sahaja berjaya bahkan mampu mengeluarkan potensi di tahap paling maksimum.
lk
Sumber artikel : Laman web Ustaz Ahmad Shukri Yusoff

Monday, October 26, 2009

Selamat Menghadapi Peperiksaan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saya selaku wakil Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai ingin mengucapkan "Selamat Menghadapi Peperiksaan" buat semua murid yang akan menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun yang bermula pada hari esok. Semoga kejayaan akan menjadi milik anda! Kepada rakan-rakan guru, selamat menanda kertas peperiksaan...

Wednesday, October 21, 2009

1MALAYSIA

‘1 MALAYSIA’
(Disediakan Oleh: ZIMAN BIN MOHAMMAD)
690216035263/20091036607
Kursus Pensiswazahan Guru Besar IAB/UPSI 2009

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prisip Rukun Negara. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat perpaduan yang lebih erat. 1 Malaysia juga, akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian yang berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan satu pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan Negara Malaysia. Dalam erti kata yang lain 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil, hal ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas dan prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan. 1 Malaysia adalah penerusan agenda membina negara untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Sebagaimana yang sedia maklum, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu asset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

Konsep 1 Malaysia memiliki kelainan dengan konsep Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah Negara Malaysia. Kedudukan konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. 1Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

Konsep 1 Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan penerapan nilai-nilai aspirasi. Penerapan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia. Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini. Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik. Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil, ini dapat mencerminkan 1 Malaysia. Pembangunan diri tanpa mengambil kira jantina dan latar belakang etnik juga berdasarkan keupayaan peribadi dan bakat seseorang. Ekoran itu, 1 Malaysia telah menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan yang ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Seterusnya prinsip-prinsip kenegaraan yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta keadilan sosial juga diterapkan. Di mana, semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Ketiga-tiga teras perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni termasuk nilai-nilai hormat- menghormati, rendah hati, kesederhanaan dan berbudi bahasa. Hormat-menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain amat penting. Rasa hormat ini juga menuntut rakyat tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum. Manakala rendah hati atau tawadhuk adalah perasaan insaf bahawa rakyat semua adalah dalam satu negara yang sama dan perlu hidup bersama secara harmoni. Ia juga merangkumi pengertian setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihannya yang tersendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara. Kesederhanaan pula ialah pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata yang bersifat ekstrem langsung tidak boleh diterima, kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah. Seterusnya berbudi bahasa ialah tutur kata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.

Aspek penerapan nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1 Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju. Nilai-nilai aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap. Dalam melaksanakan aspek gagasan 1 Malaysia, antara nilai-nilai yang perlu diberi penekanan ialah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Pengamalan budaya cemerlang ini akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Ekoran itu, budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Prinsip ketepatan boleh menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Di mana, ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Di samping itu ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan. Wujudnya budaya kecemerlangan ini membolehkan negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

Nilai yang seterusnya ialah ketabahan, setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Setiap kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif. Manakala sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Seterusnya semangat juang yang tinggi dan berpendirian yang teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat melayu yang menghormati orang yang merendah diri. Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada. Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

Sementara prinsip kesetiaan pula, amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan dan kejayaan. Setiap pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran. Di mana, kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak. Ekoran itu perhubungan dan ikatan ynag kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin. Walaubagaimanapun kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan. Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama. Manakala pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik. Di samping itu kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Seterusnya, meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan tersebut. Ekoran itu, meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut perlu dipilih. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi ini, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimunkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Seperti dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. Prinsip meritokrasi ini membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Nilai pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan segala-galanya. Sebagaimana yang sedia maklum, budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka. Di mana sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular dan semua aliran sama ada sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Di samping itu, kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk 1Malaysia.

Selain itu, integriti adalah nilai yang penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan amat penting seperti, mesti bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Namun demikian, seseorang itu mesti berusaha memperbaiki kesilapan masing-masing, yang mana setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna. Manakala sifat menepati janji dan masa adalah sifat yang dituntut dalam agama Islam dan memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. Seseorang itu juga, perlu menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara itu sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran itu perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Setiap kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. Namun, dalam segala tindakan dan perlakuan perlu mengetepikan kepentingan peribadi seperti sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

Kesimpulannya, konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan Negara Bangsa bagi sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prisip-prinsip 1 Malaysia iaitu kebersamaan dan kekitaan bagi menjayakan konsep ini.

Wednesday, October 14, 2009

Multaqa' Guru Pendidikan Islam Daerah Kulai Tahun 2009




Pada 10 oktober 2009, semua guru-guru Pendidikan Islam, JQAF, GSTT, GST dan GTPI Daerah Kulai telah menghadiri Multaqa' Guru Pendidikan Islam Daerah Kulai Tahun 2009 dan meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di SMK Bandar Putra, Kulai Johor. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Ustaz Muhd Hairozi bin Muhammad, Penolong Pengarah Kawalan Akidah dan Ajaran Sesat, Unit Operasi Dakwah dan Kepimpinan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor sebagai penceramah di dalam majlis tersebut. Alhamdulillah majlis telah berjalan dengan lancar dengan komitmen yang diberikan oleh semua rakan-rakan guru Daerah Kulai ini.

Semoga pada tahun-tahun hadapan dapatlah sama-sama kita mengeratkan lagi tautan ukhwah yang dibina di kalangan guru-guru Pendidikan Islam Daerah Kulai ini.

Monday, October 12, 2009

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Daerah Kulai 1430H




Majlis ini di adakan di Dewan Sek Men Keb Senai, Kulai. Anak-anak yatim ini dikumpulkan dalam satu majlis bersama Pegawai PPD Kulai, Tuan Haji Bahrom bin Ali. Sambutan amat menggalakkan dan disambut baik oleh semua guru-guru Daerah Kulai yang terlibat...